Wednesday, November 25, 2015

AMANAT PENGETUA






Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. 

Terlebih dahulu tahniah diucapkan kepada unit ICT  sekolah atas kejayaan mewujudkan laman web rasmi sekolah yang istimewa ini. Terima kasih kerana memberi kesempatan untuk saya mencoretkan sepatah dua kata dalam ruangan ini. 

Dalam era globalilsasi ini ditambah dengan bahang kepesatan bidang pendidikan abad ke-21 telah menuntut kita sebagai pendidik untuk melakukan anjakan dan perubahan ke arah lebih cemerlang dalam menjalankan tugas dan menguasai teknologi dan pengetahuan baru sesuai dengan perkembangan semasa. Menerusi Penilaian Bersepadu Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP), guru akan dinilai berdasarkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas masing-masing dalam usaha melahirkan pendidik yang berprestasi tinggi untuk mendukung ke arah negara maju.


Kepada warga SMK SEKSYEN 10 KOTA DAMANSARA (SMKKD 10) yang saya kasihi, bersesuaian dengan tuntutan transformasi pendidikan masa ini, sekolah kita turut mengalami perubahan dalam satu fasa baru selangkah ke hadapan. Kita telah membuktikan bahawa kita mampu berdiri teguh dengan menghasilkan pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. 

Kita amat bersyukur kerana SMKKD 10 telah mendapat Tawaran Baru Pengetua atau Bai’ah pada tahun 2014 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi sekolah- sekolah yang telah berjaya melonjakkan prestasi dalam pendidikan. SMKKD 10 juga telah mencapai band 4 dalam kedudukan sekolah-sekolah di Malaysia. Kita juga sewajarnya menyedari tanggungjawab besar yang harus dipikul untuk meningkatkan band sekolah daripada band 4 kepada band 3 dan berharap sekolah akan mencapai ranking top 500 pada tahun 2015 dalam kalangan sekolah yang ada di Malaysia.

Oleh itu, saya menyeru agar kita bersama-sama melangkah dengan derap yang sekata kerana pencapaian membanggakan ini merupakan satu manifestasi bahawa kita semua sentiasa bekerja kuat dan gigih bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan. Pendidikan Abad ke-21 berpusatkan murid dan berkaitan dengan teknologi maklumat. Pengajaran dan Pembelajaran abad 21 banyak dibantu oleh komputer dan menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan berkesan kepada pelajar. 

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah membuat persediaan dengan mewujudkan dua bilik chrome di sekolah. Sesungguhnya , pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran guru daripada pelbagai sumber berasaskan ICT menghasilkan pembelajaran yang yang berkesan dan menarik. Malah, prasarana dan susun atur bilik darjah juga telah disusun mengikut pendidikan abad ke-21. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa majalah sekolah kerana sesungguhnya majalah sekolah merupakan naskhah yang memaparkan kegiatan pendidikan dan pencapaian pembelajaran yang terkini. Bagi warga sekolah, butiran dan gambar yang dimuatkan bakal menjadi kenangan indah zaman persekolahan.

Sebagai penutup, saya titipkan kata-kata bahawa jika kita tidak dapat terbang, maka berlarilah. Jika kita tidak dapat berlari, maka berjalanlah. Jika kita tidak dapat berjalan, maka merangkaklah. Namun, ingatlah apa-apa pun yang kita lakukan, tetaplah melangkah maju demi kejayaan SMKKD 10. 

 Sekian, terima kasih.